Saya masih lagi seorang ‘student’ dalam perniagaan. Baru sahaja masuk fasa tahun ke-5 dan tahun ke dua dalam bisnes online. Tidak lama jika berbanding orang lain yang sudah berpuluh tahun dalam perniagaan. Masih kerdil dan merangkak-rangkak. Pun begitu, saya juga ada pengalaman yang rasanya bernilai jika saya kongsi dengan orang yang baru mahu memulakan perniagaan.
Saya dan ramai orang bila ditanya soal bisnes, akan timbul soalan paling ‘best’ tetapi memeningkan. Soalnya adalah – Nak jual apa?
Perangkap ini sebenarnya dialami oleh hampir 99% orang yang nak berniaga. Fikir nak jual apa sampai tak sedar soalan itu tidak berjawab bertahun lamanya. Dari muda sampailah usia lanjut. Masih lagi berfikir tanpa ada apa-apa tindakan. Jika bicara soal seminar perniagaan, habis seminar dihadiri. Seminar motivasi bisnes, seminar buat produk sendiri, seminar marketing semua dah ‘selamat’ dipelajari dan ilmunya disimpan rapat-rapat dalam almari. Semua diketahui. Kalau dengan hadir seminar boleh dapat PHD, barangkali sudah layak di panggil doktor falsafah seminar.
Heh! Saya pun kaki seminar. Tetapi saya akan hadir seminar yang saya rasa perlu dan wajib sahaja. Sebab jika terlalu banyak ilmu sampai tidak sempat untuk amalkan ia akan jadi membazir.
Soalan ini masih belum terjawab. Nak jual apa? Bagi saya, manusia paling hebat sekalipun belum tentu dapat menjawab soalan ini. Ada segelintir sahaja yang pernah melalui fasa ini yang boleh memberikan jawapan. Ya, segelintir yang ada pengalaman ‘lemas’ dalam soalan yang sama. Saya pernah lemas dengan soalan ini bertahun lamanya. Lemas tanpa ada tindakan untuk mencari jawapan segera.
Agaknya Allah sengaja lemaskan saya supaya saya belajar dan jawapan hanya diberikan sewaktu saya benar-benar bersedia. Saya masih teringat satu waktu (dimana saya mula kembali bisnes selepas jatuh), ketika itu saya dicabar oleh guru dan mentor saya untuk menggandakan wang RM50 menjadi RM1000. Dalam fikiran saya hanya ada 2 cara sahaja untuk kembangkan duit tersebut. Satu dengan jual beli barang, kedua dengan saham. Waktu itu saya terdesak benar. Dalam akaun bank kosong, kereta tertunggak 3 bulan, duit dalam dompet cukup-cukup untuk makan tengah hari sahaja. Mahu atau tidak, saya terpaksa ambil duit RM50 tadi dan memerah otak agar ia bertukar menjadi RM1000!
Pun begitu… “there no such thing as magic!”. Tidak ada benda yang magik didunia ini.
Saya perlu bermula dengan apa yang ada. Saya perlu jual apa barang sekali pun dengan syarat duit RM50 itu berganda. Kalau hari ini tak jadi RM1000 sekali pun, sekurang-kurangnya ia jadi RM100 dulu! Apa yang saya buat? Saya dapatkan sahaja barang/produk yang ada berdekatan, dengan apa yang ada, saya jual. Saya hanya modal RM50, ada mulut dan tangan untuk menjual. Saya mula dengan apa yang ada, apa yang mudah diperoleh. Beli barang dengan harga RM50, jual dengan harga yang lebih mahal untuk dapat keuntungan.
Magiknya bukan duit bertambah, tetapi magiknya jawapan kepada soalan yang lama difikiran akhirnya terjawab! Manusia dalam keadaan terdesak akan menjumpai jawapan kepada soalan yang susah.
Kata kunci nya adalah, mula dengan apa yang ada…. Kalau belum ada produk/servis untuk diniagakan, tanya kawan paling dekat, apa barang yang boleh diniagakan, ambil dan jual. Jangan fikri minat dulu. Jual dulu untuk dapat momentum. Minat akan datang selepas anda berjaya jual!
Magiknya lagi, dengan RM50, ia boleh jadi RM10,000 sebulan, RM100,000 sebulan. Mungkin dengan izin Allah ia boleh jadi angkan 1 juta sebulan. Amin!
0 comments:
Post a Comment